Isnin, 2010 Oktober 25
Nasihat P.Ramlee dan Kegagalan mengurus Kewangan di kalangan Penjawat Awam, Gaji kecik, buat la cara gaji kecik..
Dalam Forum Pembaca Utusan Malaysia hari ini (26/10/2010):
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
Perangkap 'pinjaman peribadi'
Saya terpanggil untuk merungkaikan masalah sebenar yang jarang dikupas oleh Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) mengenai masalah kakitangan kerajaan yang makin meruncing. Tahukah anda kenapa Presiden CEUPACS hanya mementingkan perjuangan untuk :
n Naik gaji bagi kakitangan kerajaan
n Minta bonus satu hingga dua bulan untuk kakitangan kerajaan
n Naikkan COLA untuk kakitangan kerajaan dan segala bentuk kenaikan yang diminta.
Saya amat sedih melihat situasi kakitangan kerajaan yang kesempitan dalam hidup. Ini terjadi akibat kurangnya sikap ambil berat tentang pengurusan kewangan di kalangan kebanyakan mereka. Apa yang saya lihat kadangkala sikap mereka yang tidak suka berjimat dan mengamalkan taraf hidup yang berlebihan menyebabkan situasi ini makin meruncing.
Kakitangan kerajaan merupakan individu yang paling tinggi terperangkap di dalam dilema 'pinjaman peribadi' yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan dan pelbagai pinjaman koperasi yang lain. Saya merupakan kakitangan swasta yang bekerja dalam sektor hartanah. Ketika permohonan pinjaman untuk membeli rumah, 80 peratus kakitangan kerajaan yang berpendapatan antara RM2,000.00 hingga RM3,000.00 sebulan, telah terdedah kepada pinjaman peribadi antara RM50,000-RM100,000. Apa yang lebih merunsingkan, tempoh pinjaman ini terlalu panjang dan ada kalanya mencecah 10 hingga 20 tahun.
Pada musim perayaan, sebulan sebelum perayaan dan awal sekolah, dapat dilihat betapa ramainya kakitangan kerajaan berpusu-pusu ke bank membuat pinjaman perayaan pula. Ini agak menguntungkan pihak bank kerana jaminan potongan gaji secara terus tetapi tidak langsung dihiraukan oleh kakitangan kerajaan akan impaknya pada masa akan datang. Bagi mereka, pinjaman RM5,000 untuk hari raya adalah wajar untuk kegunaan hari raya dan awal persekolahan kerana hanya perlu membayar RM100 sebulan selama lima hingga 10 tahun.
Ibu bapa saya merupakan kakitangan kerajaan. Ibu merupakan pesara guru dan bapa saya pula pesara tentera. Namun kemudahan ini cuma pernah digunakan sekali untuk pinjaman RM10,000 sahaja kerana ketika itu empat orang anak menuntut di pengajian tinggi. Masing-masing memerlukan komputer untuk kegunaan kami belajar dan dua orang lagi masih lagi bersekolah.
Kini ibu bapa saya telah bersara dah saya benar-benar terperanjat melihat jumlah simpanan ibu bapa saya sebelum gratutiti adalah hampir 50 peratus daripada jumlah gratuiti yang diperolehi. Setelah menilai cara perbelanjaannya kini baru saya sedari bagaimana mereka boleh menyimpan wang sebanyak itu.
Kedua-dua orang tua turut menerapkan semangat untuk menyimpan wang. Ini kerana kesemua enam orang kami akan diberikan kereta second hand setelah tamat belajar dan dilarang sama sekali untuk mebeli kereta baru. Kereta tersebut dibeli secara tunai tanpa pinjaman bank. Kami cuma perlu membayar kepada mereka tanpa faedah.
Ini berbeza dengan kebanyakan kakitangan kerajaan lain yang lebih rela untuk membeli kenderaan baru demi status yang mereka perolehi. Pernah sekali saya menyuruh ibu membeli kereta baru memandangkan dia ketua kepada stafnya di sekolah, namun ibu berkeras dan berkata tidak perlu menambah hutang yang sedia ada.
Pada hari raya pula kami akan menggunakan perabot dan barangan yang ada, jarang sekali ditukar selagi barang tersebut boleh diguna pakai. Meja makan yang dibeli oleh ibu semenjak saya berumur lima tahun masih lagi dipakai meski pun terdapat kesan terbakar. Ibu cuma menutupnya dengan alas. Kini saya berumur 27 tahun dan yang bertukar cuma kerusi. Ini menunjukkan bahawa sikap jimat cermat sebegini yang membolehkan ibu dan bapa saya menyimpan wang meskipun membesarkan kami enam beradik. Stesen televisyen berbayar pula tidak pernah dilanggan. Kami hanya dapat menikmati fasiliti ini setelah lima daripada enam orang adik beradik kami bekerja.
Ibu bapa saya bijak merancang kewangan dan sikap jimat cermat ini telah menyebabkan mereka selesa sebagai kakitangan kerajaan. Menurut ibu saya, dia sedih melihat ramai orang bawahannya menggunakan kemudahan pinjaman peribadi yang akhirnya menjerat diri. Alasan untuk berkahwin, anak bersekolah, ubah suai rumah, perayaan dan sebagainya tidak patut timbul sekiranya mereka bijak berjimat.
Saya berkahwin dengan suami pada hujung 2010. Kami melaksanakan majlis yang sederhana dan kos perkahwinan kami dapat ditampung dengan hanya wang simpanan tanpa menggunakan sebarang pinjaman.
Seorang rakan saya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan membuat pinjaman RM20,000 untuk dirinya dan RM20,000 untuk suaminya yang juga kakitangan kerajaan, untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Meski pun majlis tersebut sangat meriah berbanding majlis saya, saya kerap terfikir bahawa pinjaman tersebut belum tentu habis dibayar setelah mendapat anak.
Saya benar-benar berharap agar isu ini dapat dipandang serius. CEUPACS patut melihat masalah sebenar sebelum meminta itu dan ini. Memandangkan masalah ini kian meruncing, sekiranya gaji dinaikkan 100 peratus tetapi mereka enggan menangani isu sebenar, ia hanya akan menjadi duri dalam daging.
PEKERJA SWASTA
Seremban
PTD-Kokak:
Kalau dilihatkan apa yang ditulis oleh PEKERJA SWASTA ini memang betul, golongan penjawat awam adalah antara 'easy target' Ah Long atau bank-bank serta koperasi yang menawarkan pinjaman peribadi. Ini kerana dengan pendapatan dan kerjaya yang tetap serta boleh buat potongan gaji melalui ANGKASA, ditambah pula dengan gaji yang 'cukup-cukup' makan sahaja, maka ramai sebenarnya penjawat awam yang terperangkap dalam soal kewangan.
Bak dialog P.Ramlee dalam Ali Baba Bujang Lapok ' Saya mau incik rompak sama saya' Apa pasal? "Isteri saya: orang mau radio baru, dia mau radio baru, Orang beli rumah baru, dia mau rumah baru.. Jadi saya mau incik rompak sama saya la.." Begitu juga dengan dialog Bujang Lapok " Ini semua mak bapak kau la yang salah, Minta hantaran tinggi, aku pinjam ceti - bila anak dah 5, hutang ceti pun belum habis bayar".
Pesanan-pesanan telah lama di beri oleh P.Ramlee dalam cerita-ceritanya (for those who think), cuma apa jika boleh saya zoom in dan categorized jenis Penjawat Awam yang terlibat dalam beban hutang ini ialah ada 4 jenis iaitu:
1- Penjawat Awam Melayu
2- Penjawat Awam Melayu
3- Penjawat Awam Melayu
4- Penjawat Awam Melayu
Kenapa perkara ini terjadi? Jawapannya mungkin, kesedaran pengurusan kewangan tidak di didik sejak kecil, pengaruh persekitaran, tekanan daripada keluarga& rakan sekerja. Kalau tak, masakan ramai penjawat awam yang mengambil personal loan untuk masuk MLM (tak kira la jual pre-paid ke, jual penapis air ke, jual korset peramping badan ke dll), kemudiannya turut mempengaruhi kaum kerabat yang lain. Dan akhirnya, kerana sifat keusahawanan tulen tiada dalam diri, yang ada hanya sifat nak kaya cepat: maka hidup akan end-up dengan hutang piutang.
Jadi kalau CUEPACS minta bonus hatta 10 bulan sekalipun, sekiranya mentaliti ini tidak di ubah, maka sampai bila-bila la penjawat awam akan berterusan menjadi mangsa kepada personal loan dan tidak akan menikmati kebebasan kewangan yang sepatutunya. Hutang memang perlu hutang, tapi kita la yang tentukan apa dan berapa banyak yang perlu kita berhutang.. Amacam? renung-renungkan dan selamat beramal..
P/S: Mat Salih Sinar Pagi ada lagu: Gali lubang, tutup lubang, ada wang, bayar hutang.
No comments:
Post a Comment